Wednesday, December 5, 2012

BERAKHIRNYA SPM...Perjuangan Masih Jauh

Alhamdulillah...5 Disember 2012 peperiksaan SPM adik selesai.




Ayah sentiasa berdoa kehadrat Allah SWT semuga adik mendapat keputusan yang cemerlang kelak ,Insyaallah.

Selama ini sememangnya adik telah berusaha sedaya upaya untuk menghadapi peperiksaan yang ayah takrifkan sebagai lesen "selangkah ke Menara Gading, memburu cita-cita", kini eloklah adik berehat sambil menenangkan fikiran.

 Selepas ini, adik terpaksa mengikuti PLKN pulak. Semuanya telah ditakdirkan dan mungkin inilah sesuatu rancangan terbaik dari Allah untuk adik.
Dilihat PLKN ini juga satu stor ilmu dari sudut jati diri dan kenegarawanan. 

Cuba renungkan Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka Allah s.w.t. akan melorongkan baginya ke syurga."




Menurut Dr Yusuf Al Qardawi, "Menuntut ilmu itu satu kewajipan tapi mencapai kecemerlangan adalah satu keperluan"

Lihatlah semua ini sebagai peluang untuk menimba ilmu dan mencari pelbagai genre pengalaman yang tidak semua orang akan mendapatnya. Anggaplah ianya sebagai persediaan menuju kejayaan dalam kehidupan seharian.

Cuba amati kata-kata dari Pujangga terkenal Aristotle ini ,"Rahsia kejayaan adalah mengetahui apa yang orang lain tidak tahu"


Semuga ada kesabaran & ketenangan disanubari adik, Ikhlas dan redha dalam melaksanakan apa jua pekerjaan , Insyaallah

Selamat Berjaya


Wassallam.

Monday, November 5, 2012

SPM 2012 BERMULA


Assalammualaikum wbrkth..




Kepada anakku Hani Wajihah yang akan menduduki peperiksaan SPM hari ini.

Ayah doakan agar 'adik' beroleh kesihatan yang baik, hati yang tenang dan sentiasa siap sedia menghadapi peperiksaan ini. 

Muga-muga dijauhi dari kecuaian dan kesilapan agar dapat mencapai keputusan  A+ dalam semua matapelajaran yang diambil, Insyaallah.

Ya Allah!berikanlah kemudahan dan tunjukkanlah jalan kepada anakku .

Ameen

Saturday, November 3, 2012

Selamat Ulangtahun Perkahwinan

Assalammualaikum wbrkth..


Bulan November 2012 ini, ramai yang terarah dan memburu angka 11 tetapi tidak bagi ku yang menunggu angka 3.




23 tahun dulu, tanggal 3 November 1989, aku selamat diijabkabulkan dengan insan pilihan .

Alhamdulillah, sehingga kehari ini, kami masih kekal bersama, menyemai dan membajai kasih sayang berdua berserikan kehadiran putera & puteri disisi.

Apabila difikirkan, memang banyak kenangan suka duka, pahit manis yang kami dilalui  bersama.
Insyaallah, ini tekad ku supaya aku boleh belajar memahami dan menerima apa jua keadaan nya seterusnya membahagiakannya hingga akhir hayatku.

Adalah lumrah kehidupan setiap pasangan..... ada kalanya kami selisih faham, namun ku anggapnya sebagai asam garam kehidupan. Ku cuba berusaha menganjak falsafah pemikiran biasa iaitu menukar pengertian sesuatu masalah itu masalah kepada pengertian sebenarnya masalah itu adalah Ujian dari Allah.

Tawa riang kekadang sunyi seketika dengan rajuk nan manja..
Alhamdulillah , biasanya tak panjang...berlalu seperti diangin lalu.  Aku akui, aku memang tidak ada seni memujuk...ha..ha..ha Syukur..Allah SWT mempermudahkan segala urusan.

Perkahwinan merupakan proses pembelajaran yang berterusan juga satu proses penambahbaikan. Jangan berhenti belajar walaupun pelajaran itu datang dari anak-anak kita sendiri. Insyaallah, aku berazam akan terus berusaha untuk memahami benda-benda baru tentang diri masing2 setiap hari.

Aku berdoa semuga Allah SWT memberkati Usia serta merahmati kehidupan kami sekeluarga hingga ke akhir hayat kami...He..he..he ~teringin jugak untuk melihat keriuhan cucu2 kami nanti.

Buat Isteriku,

Terima kasih kerana menjadi Ummi kepada anak-anakku dan sentiasa ada disisi menemaniku.
Terima kasih kerana memahami diriku juga Familiku.
Terima kasih kerana bersabar dan menerima segala kekurangan dan kelemahan.
Terima Kasih......Terima kasih yang tak terhingga.


Hai! Tak sahlah pulak entri ni kalau tak berpantun....

23 Tahun lalu....sejarahku bermula.
Mula seorang kini berdua
Awalan seorang puteri,kini dah tiga
Tambah ceria hadirnya seorang putera.

Yang kanak2 dah remaja
Yang Remaja dah pun Dewasa
Yang Dewasa pulak dah Tua
YANG PENTING, KITA AKAN TETAP BERSAMA


Ya Allah , 
Tuhan yang menyatukan dua hati kami, 
Engkau campakkanlah ke dalam hati kami, perasaan kasih sayang antara satu sama lain,
sebagaimana Engkau satukan hati Nabi Muhammad SAW bersama Saidatina Khadijah R.ha.

Syukur Ya Allah... Berikanlah kepada kami kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Hanya kepadaMU kami bergantung harap..

Ameen


Wassallam.




Thursday, November 1, 2012

Think Big,Think Far & Think Deep


Assallammualaikum wbrkth...

Taufan Sandy membadai  Timur Amerika Syarikat. Sebahagian besar Penduduknya terjejas teruk serta ada yang  kehilangan jiwa. dan trauma dengan musibah ini.



 Apabila Dunia mula dikhabarkan dengan pergerakan Taufan Sandy yang berjarak lebih 500km lagi, persediaan rapi telah diambil oleh pihak berkuasa tempatan serta penduduk. Mengikut ramalan kaji cuaca, ia tidaklah sehebat  Taufan Irene .TETAPI......


Petikan dari Berita Harian : "Kerajaan tempatan dari North Carolina hingga ke Cennecticut mengisytiharkan darurat manakala Delaware mengarahkan perpindahan wajib di kawasan pantai selepas taufan Sandy yang melanda Caribbean, mula membadai wilayah timur Amerika Syarikat dengan hujan lebat, angin kencang dan salji tebal semalam. 


Sandy dijangka menjejaskan lebih 60 juta penduduk apabila ia bertembung dengan dua lagi ribut kuat musim sejuk. Pakar berkata kekuatan angin bukan menjadi perkara utama apabila ia membadai tetapi kesannya akan dapat dirasakan sehingga 1,300 kilometer dari Pantai Timur hingga ke Great Lakes. 
Pihak berkuasa memberi amaran terhadap penduduk di kawasan pantai untuk mengelak laluan taufan berkenaan. Pengarah agensi pengurusan kecemasan persekutuan, Craig Fugate berkata ribut adalah satu ancaman bukan hanya kawasan pantai: Ini adalah sebuah kawasan yang besar, katanya".

Melihat musibah ini fikiran terus terarah kepada kebesaran Ilahi, Tiada sesuatu pun yang dapat mengatasi kuasa dan takdirnya.Mengapakan semua ini terjadi? Hanya ALLAH sahaja yang Maha mengetahui setiap sesuatu..

Marilah kita bermuhasabah diri....berkronologi rentetan masa silam.

Kononnya atas nama "keadilan", Amerika Syarikat dengan rela hati menghantar tentera-tenteranya ke Afghanistan & Iraq serta negara lain yang mempunyai banyak sumber minyak. Bukan hanya tentera sahaja dihantar tetapi  juga dikirim peluru dan api untuk mencapai nafsu yang tersirat iaitu meraut kekayaan sumber minyak. Mengapa mereka tidak ke Rhohinga? ...

Amerika Syarikat lupa dengan erti Kemanusiaan walaupun sering diucap dibibir pemimpin2 mereka. Mereka sombong & mendabik dada dengan kemampuan teknologi yang canggih, persenjataan terkini yang tidak dimiliki oleh negara lain

Beginilah matlamatnya...Hasil minyak dibalas dengan peluru dan api. Sebenarnya mereka silap dengan andaian kehebatan mereka. Mungkin mereka berfikir ,Apalah sangat jika dibandingkan peluru & api dengan air & angin, jauh panggang dari api.

Tetapi Allah SWT Maha Besar...didatangkan angin dan air yang mereka anggap boleh diuruskan yang akhirnya membawa kemusnahan yang bukan kepalang dahsyat..Subhannallah!!

Kita mesti memikirkan musibah ini bukan setakat dipermukaan sahaja tetapi sehingga kedasar. Mudah-mudahan dengan merenung jauh ke dalam akan menjadikan kita insan yang sentiasa bersyukur dan bertakwa kepada Allah SWT.

Kepada mangsa2 terlibat...Ucapan Takziah dari kami, semuga bersabar dengan Qada' & Qadar ini.

Wallahuallam








Tuesday, September 4, 2012

MENCAPAI KEMULIAAN SEBENAR


BELAJARLAH UNTUK MENCAPAI KEMULIAAN HIDUP MELALUI KEMULIAAN YANG ADA PADA ORANG LAIN.

Wahai Anak Adam! Perhatikanlah Kepada Dirimu Dan Kepada Seluruh Makhlukku, Sekiranya Engkau Mendapati Mereka Lebih Mulia Daripadamu, Maka Ambillah Kemuliaannya Kepadamu.
Jika Tidak, Muliakanlah Dirimu Dengan Taubat Dan Amalan Soleh.
Sekiranya Engkau Dapati Dirimu Itu Mulia, Maka Ingatlah Nikmat Allah Kepadamu Serta Perjanjianmu Dengan-Nya Dimana Ketika Itu Kamu Berkata “ Kami Dengar Dan Kami Taat”

Takutlah Kepada Allah Sebelum Datangnya Hari Kiamat, Hari Yang Didedahkan Segala Kesalahan. Hari Yang Pasti Terjadi. Hari Yang Kadar Masanya 50 Ribu Tahun.

Hari Yang Tidak Berbicara Dan Tidak Ada Pengizinan Kepada Mereka Yang Meminta Ampun.
Hari Yang Kelam Kabut. Hari Penuh Dengan Teriakan. Hari Yang Masam Mencuka Segala Muka Manusia. Hari Yang Tidak Berkuasa Diri Manusia Terhadap Sesuatu Apapun, Seluruh Urusan Pada Hari Itu Hanya Daripada Allah. Hari Kekesalan, Hari Keluh Kesah Serta Hari Yang Penuh Dengan Ketakutan. Hari Keruntuhan Segala Bukit Bukau.
Hari Pembalasan Serta Segera Tergelincir Matahari. Hari Bunyi Halilintar, Hari Di Mana Anak-Anak Kecil Menjadi Remaja. 

Maka Janganlah Kamu Tergolong Dalam Golongan Mereka Yang Berkata “Kami Dengar,Tetapi Sebenarnya Mereka Tidak Mendengar. (Al-Anfal:21)


[Dipetik daripada Hadis Qudsi Imam Al-Ghazali " Al Mawa'iz fil Ahadis Al-Qudsiah ]

 “ Semakin kita beremosi, semakin akal tidak berfungsi ”

Ampun Maaf :

Monday, September 3, 2012

SEPUTAR KEHIDUPAN, SATU INGATAN.

HIDUP ini umpama roda.. sentiasa berputar 24 jam sehari . Ada ketika putarannya berada di Puncak manakala di ketika yang lain berada di bawah.

Bila di Puncak , segalanya indah, penuh ceria & bahagia , tawa gembira, bertenaga.
Bila di Bawah, segalanya mula suram, tenaga berkurangan, lesu tidak bermaya , senyuman tawar ,memancar derita, bergelora.


Seandainya suram cahaya yang menyelubungi jadi lesu tidak terpancar ke nurani sejati…….justeru mampu membuatkan jiwa hambar dan hiba.

Disaat terkenangkan putaran roda kehidupan ini, tanpa di sedari air mata menitis ke bumi.

Allah SWT tidak mendatangkan sesuatu dugaan itu melainkan ianya bersesuaian dengan kemampuan kita menghadapinya.

IKHLASKAN Hati kerana Allah,
YAKINKAN Sanubari.. Allah akan memberi jalan dan memudahkan urusan,
SAYANGI & HORMATI apa jua anugerah Allah SWT kepada kita,
BANGKITKAN SEMANGAT, BERUSAHA bersungguh-sungguh tanpa jemu,
BERFIKIRLAH mendepani waktu, menimbang sewajarnya lantas memutuskan hasil cetusan rasa,
BERHIKMAH dalam kata-kata, melentur hati yang keras berbatu agar dapat hidayah Allah SWT, Insyaallah.

Seandainya berada di PUNCAK, jaga peribadi….hindari sifat sombong & bermegah diri, Ingat selalu kepada Allah SWT.

Seandainya jika ditakdirkan jatuh ke BAWAH, BERSEDIALAH dan BANGKITLAH bersama REDHA Ilahi.

Ampun maaf.

Thursday, August 23, 2012

Entahlah..Aku kesal




Pernahkah kita berfikir, ketika di bibir pantai....merenung jauh ke lautan berombak?
Pernahkah kita berfikir, ketika nun di Puncak....merenung jauh ke daratan yang luas?
Pernahkan kita berfikir, ketika meranjau ke hutan......melihat kecantikan alam?
Pernahkan kita berfikir mengenai hati & perasaan?
Pernahkan kita menimbang situasi kecelaruan dan kedamaian?

Adakah kita bersedia untuk memikirkan dan menimbangkan hal yang menyentuh perasaan...perasaan insan serta mereka2 dikelilingnya?

Lihatlah dengan mata hati
Fikirlah dengan murni budi

Apa salahnya!!
Dalam kehidupan ini....bersedialah untuk menerima kekurangan dan kelemahan orang lain.
Sedarlah, sebenarnya ada kelebihan yang terselindung disebalik kekurangan itu.

Jika sekarang kita tidak bersedia untuk menerima kenyataan ini....
BERSEDIALAH nanti, kerana mungkin orang lain juga tidak dapat menerima kekurangan dan kelemahan diri kita.

"What's you give, you get back"...

Apabila melihat bibir-bibir berbicara sesama...alangkah sedihnya rasa dihati,
tak pernah terjadi sebelum ini, rupanya ada yang bersarang & terpendam dijiwa mereka. 
Alangkah elok jika berterus terang? Ini lebih dihormati.

Setelah sekian lama masa beredar, masih tidak sedar dan tak  faham atau sengaja tidak berusaha untuk memahami?

Belajarlah...belajarlah...belajarlah menerima semua ini  .
Ketahuilah Insan tersebut LAYAK & MESTI dihormati, kalau pun bukan sebagai ".........................." tetapi sebagai manusia. Kita juga akan tua seperti mereka.

Semuga Allah SWT memaafkan KAMU semua.

Wallahuallam.

Monday, August 20, 2012

AL-FATIHAH


Dikesempatan balik kampung, tidak ku lepaskan peluang untuk menziarahi Pusara Ayahanda Al Marhum Ayahanda Hj Mohd  Said Bin Hj Mohd Zain.

Alhamdulillah, nampaknya Pusara Almarhum Ayahanda telah pun dilengkapi dengan Kepok & Nisan. Tanahnya pun telah di naikkan sedikit serta diratakan. Lebih menarik lagi tampaknya selepas diletakkan batu putih dipermukaan sebelah dalam kepok.

Terima kasih kepada Keluarga yang terlibat serta Abg simon yang banyak membantu.







Ku hadiahkan bacaan Yaasin kepada Ayahanda sebagai tanda kasih & sayang anakanda terhadap ayahanda.

"Ya Allah! Jadikanlah Pahala Bacaan Yaasin ini sebagai perisai buat mereka Penyelamat, Pendinding dan Penebus dari azab api nerakanya,
Ya Allah! jadikanlah kami dalam suratan ibubapa kami, umumkan sekelian dengan Rahmat dan keredhaan dan masukkanlah kami dan mereka itu ke dalam keluasan SyurgaMU Wahai Tuhan yang memberi Berkat dan yang mengurniakan Rahmat, Wahai Tuhan yang mencipta  dan mengindahkan Langit dan Bumi, Wahai Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan".


Ya Allah! Ampunilah bagi mereka dan rahmatilah mereka
Ameen.

Sunday, August 19, 2012


Selamat Hari Raya Eidul Fitri 1433H/2012M
Maaf Zahir & Batin





Raya tahun ini yang amat berbeza.....terasa begitu sayu.
Walaupun begitu, kugagahi jua demi keluarga tercinta dan objektifnya.

Untuk meraikan lebaran kali ini, ucapan manis ku titipkan menerusi lirik lagu ini.

Amatilah lirik lagu di bawah ini.

Artist: Rahimah Rahim

Selamat berhari raya
Ucapan ku untuk semua
Kita mengeratkan semula
Hubungan saudara
Yang terpisah

Yang jauh berkirim salam
Yang dekat berkunjung-kunjungan
Maaf dipinta dan diberi
Semoga ikatan berkekalan abadi

Dalam kita bergembira
Pasti ada yang berduka
Enak menjamu selera
Jangan lupa yang tiada

Selamat berhari raya
Walau di mana kau berada
Suka-duka silih berganti
Apa pun dugaan
Tabahlah menghadapi

Ya, begitulah ketentuannya dan kita kena tabah menghadapinya.

Akhirulkallam...Ampun Maaf.

Saturday, July 21, 2012

Ramadan Kareem 1433

Alhamdulillah, Hari ini 21-Julai-2012 Umat Islam di Malaysia mula berpuasa.
Insyaallah,muga2 kita semua dapat memanfaatkan bulan Ramadan Ramadan yang mulia ini dengan amal ibadat dan kebaikan serta pengisian yang lain.


Bagiku, Inilah Ramadan pertama dalam hidupku yang ku jalani tanpa Ayahanda tercinta. Banyak kenangan ku bersama Almarhum Ayahanda...dari mula diajar berpuasa sehinggalah dapat pula mengajar anak2ku berpuasa. Syukran Jazza' Ayahanda..

Ingin ku catatkan serba sedikit pengalaman berpuasa bersama Almarhum Ayahanda semasa kecil2 dulu.
Memang kenyataannya, seawal usia 6 tahun kami adik beradik telah berpuasa penuh sebulan. Almarhum Ayahanda banyak menggunakan pendekatan saikologinya dalam membimbing kami dan memberi "semangat kental" untuk menghadapi tanggungjawab berpuasa.

Diantara perkara yang Almarhum lakukan ialah dengan mengeluarkan arahan seperti ini, katanya "sesiapa yang tidak berpuasa,tidak boleh duduk bersama orang2 yang berbuka dan perlu berada diruang depan rumah bersendirian dalam kegelapan" .

Hssshhh...mana boleh ni tambahan pulak nak duduk bergelap sorang2.Takuttttttttttttt...
Ketika dulu,rumah kami hanya bertemankan sebuah lampu minyak tanah sahaja (yang dipasang dimeja makan,tempat2 lain bergelap..kalau ada yg perlu pun hanya dipasang pelita ayam sahaja).

2 perkara yang membimbangkan iaitu kami takut bergelap keseorangan dan tidak dapat merasa juadah berbuka.

Pada mulanya, mahu tidak mahu terpaksalah mematuhi "arahan ayahanda" tetapi lama-kelamaan ianya menjadi kebiasaan bagiku, Alhamdulillah.

Kaedah yang sama telah ku perturunkan kepada anak-anakku (dgn sedikit ubahsuai) dan sebagai bukti , alhamdulillah anak2ku dapat berpuasa seawal usia mereka.

Kurasakan hati ini begitu rindu kepada ayahanda terutama ketika Ramadan kali ini, sesuatu yang amat berbeza sekali dari masa-masa lalu.




"Rumah ini sepi TanpaMu"....

Alfatihah dari anakanda Mu Mohd Hanif & keluarga.






Monday, July 2, 2012

SAMBUTAN NISFU SYAABAN

Insyaallah, Program Sambutan Malam Nisfu Syaaban akan diadakan pada 04-Julai-2012 di Balai Islam Pangsapuri TNB Kapar.

Kelebihan Syaaban berbanding bulan lain ialah seperti kelebihan Rasulullah SAW terhadap semua nabi, manakala keutamaan bulan Ramadan berbanding dengan semua bulan adalah seperti keutamaan Allah kepada hamba-Nya.

Program yang dirancangkan adalah seperti yang dinyatakan di dalam poster  di bawah ini.
Jemputlah hadir.



Serba sedikit mengenai Kepentingan Nisfu Syaaban.

Dari Ibnu Majah dari Ali ra. dari Nabi saw bersabda bermaksud, “Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu berqiyamullail pada malamnya, dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman, “Adakah disana orang yang memohon keampunan, lalu Aku mengampunkan dia ? Adakah di sana orang yang memohon rezeki, lalu Aku memberi dia rezeki ? Adakah di sana orang yang di beri ujian bala bencana, lalu Aku menyejahterakan dia ? Adakah di sana … adakah di sana … ? sehingga terbit fajar”.


Dari Al-Baihaqy dengan sanad-sanadnya dari Aisyah ra. bahawa Nabi saw bersabda bermaksud, “Jibril telah mendatangi aku dan berkata: Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Pada malam itu Allah membebaskan hamba-hamba dari siksaan Api Neraka seramai bilangan kambing Bani Kalb (merentasi satu tempat) selama sebulan. pada malam itu Allah tidak menoleh kepada orang yang melakukan syirik, pengadu domba (kaki batu api), pemutus silaturrahim, penderhaka kepada kedua ibu bapa dan orang yang ketagih arak”.

NB: *Bani Kalb adalah kabilah Arab yang terbesar atau yang memiliki bilangan kambing yang terbanyak.


Wassallam.


-hanifms-




Saturday, June 30, 2012

SILLATURRAHIM & WALIMATULURUS

Taman Siti Khadijah, Beruas, 30 Jun 2012


Hari ini ke Beruas menghadiri Majlis Perkahwinan anak Tuan Hj Munir & Hajjah Zaharah. Hati begitu teruja sekali untuk hadir kerana telah 3 tahun tidak bertemu dengan mereka. sebenarnya Tuan Hj Munir & Hjh Zaharah merupakan Rakan sebilik saya serta isteri semasa menunaikan Fardu Haji dahulu. Alhamdulillah, persahabatan masih diteruskan dan muga2 Allah SWT merahmati dan mengekalkan sillaturrahim ini,  
Insyaallah.



Sesampainya kami di rumah Hj Munir, disambut dengan penuh gembira & ikhlas. kami bersalaman dan berpelukan melepaskan kerinduan dan kegembiraan. Alhamdulillah, Allah SWT telah memberikan saya peluang agar saya dapat menghadiri majlis ini dan bertemu rakan jamaah dahulu.




Bila terpandangkan Hj Munir & Hajjah Zaharah, mulalah saya teringatkan pelbagai kisah dan pengalaman  semasa kami sama-sama berada di Makkah & Madinah pada tahun 2009, seolah-olah macam baru saja ianya berlaku. Kenangan indah yang sukar dilupakan. Alangkah gembiranya dan hati ini terasa begitu syahdu sekali...semacam ada satu tarikan untuk saya ke tanah Suci lagi.


"Ya Allah! Berikan Aku kekuatan semangat, Rezeki ,Nikmat Kesihatan, Kelapanganmasa dan Peluang untuk kesana lagi. Hanya KepadaMu aku bergantung memohon pertolongan" Ameen.




Berbalik kepada Majlis Perkahwinan Puteri Hj Munir & Hjh Zaharah, Pasangan Pengantin nampak bagai Pinang Di belah Dua, Sama Cantik Sama Padan.







Akhirulkalam kami amat bersyukur kepada Allah SWT yang menetapkan pertemuan ini mudah-mudahan pasangan mempelai ini dapat menjalani kehidupan rumahtangga yang harmoni dan Insyaallah semuga Jodoh Pasangan ini berpanjangan hingga ke akhir hayat.

Tahniah & Wassallam.


-hanifms-




Thursday, June 28, 2012

SABAR...

Hebatnya S.A.B.A.R





Peringatan untuk DiriKu & Kalian semua.


-hanifms-

TITIP RINDU BUAT AYAH...

Hasil Kerinduan Yang tak Pernah Padam...






-hanifms-

SEBULAN SELEPAS PEMERGIANNYA...

Al Fatihah ......Buat Ayahanda Almarhum Haji Mohd Said Bin Hj Mohd Zain.

Hari ini, telah genap sebulan Ayahanda meninggalkan kami , pergi buat selama-lamanya kehadapan Ilahi, Tuhan Yang Maha Pencipta Lagi Maha Berkuasa atas Sesuatu.

Akhir-akhir ini, bermacam-macam ingatan kepada Ayahanda kembali membayangi jiwa ini. Benarlah seperti dikata...amat mendalam sekali perasaan rindu kami kepada nya. Bagaimanakah keadaan ayahanda di sana? Kami berdoa semuga Allah SWT memberikan keampunan serta meletakkan ayahanda bersama orang-orang yang Soleh,Insyaallah.

Dalam pada itu...terfikir juga,bagaimana akan jadinya dengan teratak kami yang ditinggalkan?

ZAINSONS 1961.


Wahai Keluarga ku! Teratak ini satu hadiah besar bagi kita. Ingatlah!! Kita mesti menjaganya sepertimana Arwah abah bersusah payah berusaha membina dan menjaganya. Amat besar maknanya teratak ini kepada Almarhum Ayananda dan kita sekeluarga. Disinilah segalanya bermula dan terkandung sejuta kenangan pahit manis , suka duka, tawa gembira....Inilah kemegahan Ayahanda & keluarga, begitulah apa yang tertulis di "tebing layar" dibumbung depan...zainsons 1961.

TANGGA BATU ANJUNG DEPAN



Pemandangan di atas amat sinonim bagi kami setiap kali kami mengambil gambar iaitu di hadapan tangga batu di anjung rumah....lokasi ini seperti satu kemestian setiap kali bergambar. 

Alangkah segaknya Almarhum Ayahanda bergambar bersama Bonda, kami dan keluarga. Gambar ini adalah yang terakhir kami rakamkan bersama semasa menyambut Eidul Fitri 2011 yang lalu.


MASA MUDA

Ada beberapa keping gambar lama kepunyaan almarhum ayahanda yang telah dapat ku scan untuk ku simpan sebagai kenangan.

Ayahanda pada usia mudanya memang "style & bergaya". Seingatku, almarhum gemar berpakaian smart dan tidak selekeh. Kehidupannya sangat simple tetapi kami amat bersyukur dengan keadaan ini walaupun ia sekadar seorang Pekebun kelapa. Teringat semasa di Darjah 3 hingga 6, sering ayahanda mengajak kami pergi menolongnya di "Penyalai kelapa" pada waktu petang & malam. Ketika itu mulalah kami mencari alasan untuk tidak pergi ( bebudak memangnya malas kan...) tetapi dengan diplomasi yang ada, ayahanda berjaya membawa kami bersama ke Penyalai Kelapa membantunya.

Segala Pengalaman bersama almarhum ayahanda mematangkan kami . Hasilnya , ia menjadikan kami seperti "apa yang dilihat sekarang ini". Subhanallah...Alhamdulillah...Allahuakbar

Akhirulkalam,...Insyaallah, Walaupun Ayahanda tiada lagi di Dunia ini, kami akan sentiasa mengingatimu.

"Ya Allah! Ampunkanlah Dosanya,Rahmatilah ia,sejahterakanlah ia dan maafkanlah dan muliakanlah pertemuannya,luaskanlah tempat masuknya, mandilah dia dengan air salji dan ais. Bersihkanlah dia daripada dosa dan sebagaimana dibersihkan kain putih daripada kotorannya. Gantikanlah untuknya rumah yang lebih baik daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik dari keluarganya, isteri yang lebih baik dari isterinya. Masukkanlah dia ke dalam Syurga dan hindarkanlah dia daripada azab kubur dan fitnah dan daripada azab neraka" ....Ameen


Ampun maaf.


-hanifms-




Monday, June 25, 2012

MUKTAMAR PAKATAN VS SYUKUR & KASIH SAYANG


Alhamdulillah, hampir 3 hari berkampung di Residence Hotel @ Uniten Bangi kerana menghadiri Muktamar PAKATAN TNB Kebangsaan 2012.

Hari ini baru berkesempatan membuka laptop dan mencatatkan sedikit perkongsian.

Pertamanya saya mengucapkan rasa syukur kerana dapat menghadirinya lagi, terakhir semasa di D'Palma Hotel Kuala Selangor tahun lepas. Terpilihnya sebagai perwakilan bermakna terpikulnya tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh ahli-ahli.

"Sepakat Berkat" begitulah motto Pakatan dan amat bersesuaian dengan zaman dan pendekatannya. Kepentingan menjaga Ukhwah & Kasih Sayang kepada sesama manusia hatta kepada alam sekitar dan haiwan perlu direnungkan sedalam-dalamnya. Kefahaman ini mesti diterjemahkan ke dalam bentuk sikap dan tingkah laku agar kehidupan ini sejahtera serta tetap berpandukan hukum hakam agama yang diredai.
Secara tidak langsung, perjumpaan sebegini dikalangan teman-teman dari seluruh pelusuk TNB tanahair melahirkan Ingatan manis dan rasa hormat serta kasih sesama anggota kerja. Menjaga silaturrahim ini satu amanah besar kepada semua.

Disamping bermesyuarat, terdapat program pengisian ilmiah yang sangat berguna kepada semua. Diantaranya Ceramah bertajuk "Peranan Da'i dalam Masyarakat" yang disampaikan Oleh Al Fadil Ustaz Dr Zulkifli....malangnya keterbatasan waktu membuatkan hati berasa tidak puas dengan kupasan & jawapan kepada persoalan yang diajukan halayak.


Walaupun singkat, tetapi ada manfaat yang besar yang dapat digali daripada program ini. Syukur Alhamdulillah.


Akhirulkallam, saya catatkan satu Mutiara kata yang saya petik dari sebuah buku bertajuk U-Turn ke Jalan Lurus : 
"Sesetengah Nikmat Itu Hanya Datang Sekali TETAPI Bersyukur Kena Selalu"


Wallahuallam.




Wassallam


-hanifms-





Tuesday, June 19, 2012

Buku itu Gedong Ilmu


Catatan 29 Rejab 1433.

"Ya Allah! Berkatilah kami dibulan Rejab Dan Syaaban & Sampaikanlah kami ke Ramadhan". Ameen



Mengambil kesempatan dipenghujung Rejab, beberapa buah buku menjadi tatapan.
Selamanya dimaklumi, buku adalah gedong ilmu yang amat luas. Saya ingin mengajak diri saya dan rakan-rakan untuk lebih banyak meneroka gedong ilmu ini, mudah-mudahan kita dapat banyak manfaat kearah mencapai satu kehidupan yang bersandarkan kepada ketetapan Yang Maha Pencipta.



Hari ini baru berpeluang meneliti & mencatatkan serba sedikit garapan kata dalam buku "Mukmin Profesional". Secara am kandungannya memperincikan 7 langkah menuju KESEDARAN iaitu satu "perkara Wajib" untuk bekalan kita melakukan perubahan secara istiqamah serta penuh iltizam.

Berikut ialah diantara kata-kata yang dapat saya catitkan buat pembakar semangat:

1. Siapa diri kamu akan datang dicorakkan oleh buku apa yang kamu baca sekarang

2. Dalam kehidupan, apabila kita sampai ke hujung jalan nampaknya  ia adalah seperti suatu titik pengakhiran tetapi kenyataan sebenarnya ialah suatu perjalanan itu baru saja bermula.

3. Hidup memang untuk menyelesaikan masalah.Masalah kita bukannya masalah itu tetapi bagaimana cara kita berdepan & menanganinya..................itulah cabarannya.

4. Manusia tidak dapat mengawal manusia...Kembalilah kepada Allah, kembalilah kepada Fitrah.

5. Pasangan Hidup manusia ialah ISLAM tanpanya manusia akan terpisah daripada ketenangan dan kebahagiaan.

6. Untuk membaiki dunia, baiki manusianya Dan untuk membaiki manusia , baiki hatinya.

Wallahuallam.


-hanifms-




Monday, June 18, 2012



Alhamdulillah, hari ini usia anak bongsuku Zariff Aqeel mencecah10 tahun. Dah beberapa hari Aqeel memberi "hint" akan tarikh hari ini kepada ku , ibunya serta kakak-kakaknya. Saja mereka kata tak tahu kepadanya. Kesian pulak...so aku pun katakanlah yang aku tahu dan ingat akan tarikh tersebut. Apa lagi...meleretlah senyumnya sampai ke telinga.

Pagi ni hanya ucapan & ciuman Selamat Hari Lahir saja yang dapat ku berikan. Insyaallah petang nanti mungkin adalah plan sikit untuknya...masih rahsia

Syukur kepada Allah SWT yang telah mengurniakan kepadaku seorang anak lelaki yang menjadi penyeri kepada keluarga kami. Walaupun kekadang tercabar juga dengan karenah & kenakalannya, tetapi Aqeel sebenarnya seorang anak yang baik dan sentiasa menceriakan kami sekeluarga.

Aqeel, ayah bersyukur dan berterima kasih kerana mendapat seorang anak yang sangat membanggakan Ayah dan Ibu.
Hanya Doa dari Ayah & Ibu..agar Aqeel menjadi seorang Muslim yang Soleh lagi bijaksana, berjaya dalam kehidupan seterusnya membawa kebahagiaan kepada keluarga.Rajin-rajinlah belajar serta jangan tinggal solat.

Ayah dan Ibu amat menghargai kehadiran Aqeel & kakak-kakak dalam hidup Ayah & Ibu .  Semoga Allah SWT merahmati Usia kita dan menganugerahkan kejayaan Dunia & akhirat kepada kita semua, Insyaallah.

Akhirulkalam, Happy Birthday My Boy..May Allah Bless You. Ameen.


Ayah,
Kapar June 18, 2012

Sunday, June 17, 2012

SELAMAT HARI BAPA



KHAS BUAT AYAHANDA,


Walaupun kini Kau Tiada Di sisi
Namun Kasih Kami kepada Mu Tetap Mekar
.......
............
................
............................

Tak terdaya untuk ku teruskan kata-kata
Tak mampu untuk ku ungkapkan cetusan rasa
Hanya Ucapan Penuh bermakna
"Selamat Hari Bapa AyahandaKu.. Yang Jauh di Sana"

Muga berjumpa di Syurga kelak,Insyaallah

Al-Fatihah..

-hanifms-

Thursday, June 14, 2012

APA KHABAR BONDA..

Assalammualaikum wbrkth Bonda,

Sebentar tadi ~ 9.21 am , dapat SMS daripada Pak Usu. Apakah beritanya pulak....

Maafkan anakanda kerana dah 3 hari tidak menalipon Bonda. Anakanda sebenarnya kurang sihat dengan batuk yang panjang dan agak menyakitkan dada.

Apa khabar agaknya Bonda? Kami doakan Bonda sihat dan sentiasa di dalam Rahmat & Perlindungan Allah SWT.


Kami faham....adalah kewajipan kami semua untuk membantu Bonda mengumpul kekuatan semangat dan dorongan di saat Bonda keseorangan dan berhadapan dengan seribu kenangan yang bermain di fikiran.

Ingatlah!! Bonda masih ada KAMI anak2 yang sentiasa ada disisi di dalam apa juga keadaan. Biarlah kami yang menggantikan semangat Arwah Ayahanda walaupun Bonda tentu sukar mencari persamaannya.

Insyaallah, Allah tetap bersama kita. Sesuatu cubaan yang di datangkan itu sudah tentu diyakini kita mampu untuk menghadapinya.


Semuga Bonda Tabah,Tenang & bersemangat untuk menghadapi hari mendatang justeru akan lebih istiqamah beribadah kepada Allah SWT.

Ampun Maaf

-hanifms-

Wednesday, June 13, 2012

NIKMAT KESIHATAN


DEMAM & BATUK.

Hari ini dah masuk seminggu demam dan batukku. Bermacam-macam ubat dah ku cuba namun belum rezeki lagi sembuhnya.Hari ini adalah dos terakhir ubat-ubatku...semuga ada kesembuhannya,Insyaallah.



Inilah dugaan dan cubaan...aqabah......ini baru sedikit. Adakah aku tewas???

"Ya Allah! Ampunilah Dosa-Dosaku. Engkau Sembuhkanlah Demam & Batukku, agar aku dapat selesa beribadah dan terus mendatangi rumah-rumahMu . Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar Permintaan HambaMu ini. Ameen"






Wassallam. Ampun Maaf


Insan Kerdil,


-hanifms-

Saturday, June 9, 2012

KASIH AYAHANDA...




BILAKAH ????


Bilakah kali terakhir Ku Ucapkan Assalammualaikum kepadanya?
Bilakah kali terakhir Ku Ucapkan Apa khabar kepadanya?
Bilakah kali terakhir Ku kongsikan cerita suka duka kepadanya?
Bilakah kali terakhir Ku luahkan isi hatiku kepadanya?
Bilakah kali terakhir Ku hulurkan Salam kemaafan daripadanya?
Bilakah kali terakhir ku peluk dan ku cium pipiNya?
Bilakah kali terakhir ku suap makanan & minuman ke mulutNya



Andainya aku terkasar Bicara
Andainya Gerakku berlebih dikira
Andainya aku tak terdengar rintihan dan keluhanMu
Andainya mungkin ada yang Engkau terasa
Namun jauh sekali bermaksud curang dihati

Sesungguhnya aku amat menyayangi dan menghormatiMu.
Bilakah lagi ku dapat menjemputMu berbicara…

Akhirulkalam, sesungguhnya Tadi adalah Maghrib TerakhirMu.


Ampun Maaf

-hanifms-





SAKIT & MUSIBAH



Sejak Rabu 6-6-2012 lagi badan ku merasa lain macam, serba tak kena dibuatnya. Subhannallah!!

Hari ini dah masuk empat hari aku diserang demam dan batuk. Dua kali bertukar ubat atas nasihat Doktor.

Alhamdulillah, hari ini nampaknya kesihatanku beransur pulih.
“Ya Allah! Anugerahkanlah kepadaku Nikmat Kesihatan Yang Baik dan rezeki Yang Halal. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui setiap Sesuatu dari HambaMu”

Bila direnung jauh-jauh, Fahamlah bahawa Sakit ini adalah Satu Peringatan dan Ujian dari Allah. Ia membuatkan kita sedar akan kebesaran Allah SWT , lantas mendorong bermuhasabah diri dan melihat sejauh mana tahap kesabaran dan ketakwaan kita kepadaNya.


Pagi tadi dapat berita sedih  via SMS dari Sahabatku Tn Hj Zaid, seorang rakan iaitu En Mafizal & anaknya mendapat kemalangan dihadapan jalan masuk ke Pangsapuri kami. Kecederaan meraka agak teruk juga. Ya! Ini juga suatu ujian dari Allah SWT.
Ya Allah! Selamatkan dan Bantulah Mereka.

Segala Ujian Sakit dan Musibah yang datang dari Allah untuk hambanya ini semestinya mempunyai sebab dan hikmah yang tersendiri.

Terfikir di sanubariku, apakah Allah SWT ingin memberikanku sesuatu yang lebih baik dari ini? Atau ingin menaikkan darjah ketakwaanku kepadaNya? Atau ingin membersihkan Dosa-dosaku? Subhannallah..Alhamdulillah…Allahuakbar !!!

Sesungguhnya Sakit itu Rahmat dan juga merupakan tamparan kasih sayang Allah. Ayuh!! Marilah kita Perbanyakkan mengingatiNya dan Bersyukurlah kepadaNya kerana tanpa kesakitan kita mungkin alpa dan  lalai dari MengingatiNya.

Jadi, bersamalah kita ingat mengingati antara satu sama lain dan sentiasa istiqamah beramal dengan suruhanNya...

"Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." [Al-Baqarah, 2:153]



Ampun Maaf.

Wassallam

-hanifms-